Dr. C. Elaine Field mencadangkan penubuhan sekolah untuk kanak-kanak pekak.
Nasib kanak-kanak cacat pendengaran di tanah air kita mula berubah pada tahun 1952 kerana inisiatif seorang pakar kesihatan kanak-kanak pada masa itu, Dr. C. Elaine Field. Semasa menjalani rawatan untuk kanakkanak, Dr. Field berjumpa dengan beberapa orang kanak-kanak pekak dan mendapati tiada program pemulihan untuk mereka, sedangkan kanak-kanak cacat penglihatan mempunyai sekolah pendidikan khas, iaitu Sekolah St. Nicholas yang telah diasaskan pada tahun 1928. Di atas kesedaran inilah, maka Dr. Field berasa bahawa sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak pekak juga patut ditubuhkan. Lantaran itu, beliau memaklumkan hakikat ini kepada Toh Puan Lady Edith Margery Templer, isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaya yang mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang ketika itu.
Toh Puan Lady Templer telah berusaha mengadakan suatu mesyuarat khas di Residensi, Pulau Pinang pada 9 Disember 1952. Hasilnya, jawatankuasa rayuan telah ditubuhkan untuk menerima sumbangan wang bagi tujuan pembinaan sebuah sekolah khas. Maka pada tahun 1954, Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan Pulau Pinang (Federation School for the Deaf atau FSD, Penang) dibuka secara rasmi di No. 47, Jalan Northam Pulau Pinang. FSD merupakan sekolah terulung di seluruh Malaya yang memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak pekak. Walau bagaimanapun, pendidikan yang dibekalkan pada ketika itu hanya setakat peringkat sekolah rendah sahaja.
En. R.P. Bingham, Residen Commissioner Pulau Pinang menyokong penuh penubuhan sekolah ini dan telah banyak berjasa pada sekolah ini pada tahap awalnya. Beliau merupakan pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah yang pertama dan telah berkhidmat selama 3 tahun.
Toh Puan Lady Templer, jawatankuasa ditubuhkan pada 9 Disember 1952 untuk tujuan pembinaan sekolah khas.
R.P. Bingham, Residen Commissioner Pulau Pinang pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah yang pertama.
Cik J. M. Hickes pengetua pertama. Sekolah bermula dengan 7 orang pelajar dan 2 orang guru.
Pada tahun 1961, Cik Lee Kooi Jong dilantik menjadi pengetua kedua.
Cik J. M. Hickes (Puan J. M. Sundram) dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan. Sekolah ini yang hanya mempunyai 7 orang pelajar dan 2 orang guru pada mulanya telah berkembang pesat. Umur kanak-kanak untuk kemasukan ke sekolah cacat pendengaran tidak dihadkan. Ada kanak-kanak pekak yang memasuki sekolah pada usia 3 atau 4 tahun dan ada pula yang mula bersekolah semasa berusia 9 tahun. Menjelang tahun 1959, bilangan pelajar meningkat kepada 60 orang. Murid-murid yang tamat Darjah 6 tidak berpeluang melanjutkan pelajaran sebaliknya diberi latihan kemahiran secara tidak rasmi seperti membuat bakul dan penggantung baju ataupun menjahit. Ini disebabkan, Sekolah KanakKanak Pekak Persekutuan pada masa itu hanya ditanggung oleh badan-badan sukarelawan. Kerajaan belum ada apaapa program pendidikan khas untuk kanak-kanak pekak baik pendidikan sekolah rendah atau pendidikan sekolah menengah formal mahupun latihan vokasional.
Pengetua Cik J. M. Hickes bergambar bersama guru-guru dan staf (1957).
Latihan Vokasional: Muri-murid mempelajari teknik membaiki masin taip.
Gambar: Pelajar-pelajar yang lulus peperiksaan bergambar bersama Toh Puan Lady Templer, Eleanor Culas (kiri) dan Chung Kim Cheong (kanan)
Memperkenalkan latihan Vokasional……
Pada tahun 1961, Cik Lee Kooi Jong (kini dikenali sebagai Dato’ Hajah Saleena Yahaya-Isa) telah dilantik menjadi pengetua selepas Cik Hickes meletakkan jawatan. Atas kesedaran bahawa muridmurid pekak perlu dilengkapkan dengan kemahiran bekerja sebelum meninggalkan bangku sekolah supaya mereka dapat hidup berdikari, Cik Lee telah berunding dengan taukeh-taukeh dari pejabat-pejabat ukurtanah, syarikat-syarikat membuat mesin taip, kedai-kedai gunting rambut dan kedai-kedai menjahit agar membenarkan murid-murid yang tamat Darjah 6 mempelajari kemahiran-kemahiran kerja di tempat-tempat berkenaan.
Berjuang untuk Pendidikan Peringkat Menengah…….
Pendidikan peringkat menengah tidak disediakan untuk golongan pekak pada ketika itu. Pihak berkenaan tidak memberikan kebenaran kerana pelajar-pelajar pekak dianggap tidak berkemampuan untuk belajar sehingga tahap menengah. Walau bagaimanapun, pihak sekolah telah berikhtiar mencari jalan keluar iaitu membahagikan masa persekolahan peringkat rendah kepada Kelas 1 hingga 10 dan bukannya Darjah 1 hingga 6. Dengan cara ini, pelajar-pelajar yang tamat 6 tahun persekolahan masih dapat meneruskan pelajaran ke kelas 7, 8, 9 dan 10. Kelas-Kelas 8, 9 dan 10 juga didedahkan kepada latihan vokasional selepas waktu persekolahan. Setiap hari jam 2 petang, pelajar-pelajar ini dihantar ke tempat-tempat berkenaan untuk menjalani `on the job training’.
Sementara itu, sekumpulan pelajar telah didaftarkan untuk menduduki peperiksaan L.C.E. pada akhir tahun 1969. guru-guru sekolah bekerja keras mengajar pelajar-pelajar tersebut. Usaha ini tidak sia-sia. FSD telah mencatat sejarah dengan mendapat kelulusan 100% dalam Peperiksaan L.C.E. pada tahun 1969! Pelajar-pelajar pekak telah membuktikan kemampuan mereka. Justeru itu, FSD mendapat kelulusan rasmi untuk memberi pendidikan peringkat menengah kepada kanak-kanak pekak pada tahun 1970.
Dalam arus pergolakan untuk pendidikan yang lebih tinggi, FSD telah bertembung dengan masalah lain. Premis di Jalan Northam didapati tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Maka Lembaga Pengelola sekolah pun berikhtiar untuk mencari tempat yang sesuai bagi pembinaan bangunan sekolah yang baru.
Akhirnya pada tahun 1963, ditemui sebidang tanah seluas 12 ekar di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah. Tanah ini dibeli daripada Penang Realty Ltd. dengan harga 65 sen sekaki persegi. Encik Loh Boon Siew (kemudian Tan Sri Loh), pengarah Penang Realty Bhd. menyumbangkan 15 sen sekaki persegi dan sekolah hanya membayar 50 sen sekaki persegi.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula menyumbangkan $500,000 bagi pembinaan sekolah baru. Seterusnya bangunan sekolah di Jalan Northam dijual dengan harga $340,000.00 untuk mendapatkan wang bagi pembangunan sekolah baru. Mengikut persetujuan dengan pembeli, pihak sekolah dibenarkan terus menggunakan bangunan lama itu selama dua tahun sehingga sekolah baru siap dibina pada tahun 1965 seperti yang dijangkakan. Walau bagaimanapun, malangnya, kerja-kerja pembinaan sekolah baru telah tergendala kerana masalah setinggan yang merangkumi 23 keluarga di kawasan tanah baru.
Setinggan enggan berpindah dan pihak Lembaga Pengelola sekolah gagal mencapai persetujuan dengan para setinggan. Pergelutan dengan para setinggan berlanjut sehingga tahun 1965 dan seperti yang disetujui dahulu, sekolah terpaksa berpindah keluar dari bangunan lama di Jalan Northam. Jadi, pada tahun 1965, FSD dan kanak-kanak pekak dari seluruh pelosok Tanah Melayu menghadapi krisis iaitu tiada tempat untuk meneruskan persekolahan. Lembaga Pengelola mencadangkan agar sekolah ditutup sehingga masalah tersebut diselesaikan dan sekolah baru siap dibina. Akan tetapi pengetua sekolah, Puan Saleena berpendapat bahawa “A child’s loss of one day’s education cannot be restored. Imagine if it’s your child……?!!!”
Atas kebenaran kata-kata ini dan tidak mahu mengorbankan peluang pendidikan kanak-kanak pekak, Puan Saleena telah berusaha sedaya upaya mencari tempat tumpangan sementara menunggu sekolah baru siap dibina. Jabatan Pelajaran Negeri melalui Pegawai Pengelola Sekolah-Sekolah Cina ketika itu telah membenarkan Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan menggunakan bilik-bilik darjah SRJK(C) Shih Chung Cawangan pada waktu petang. Masalah asrama juga dapat diselesaikan dengan menempatkan pelajar-pelajar lelaki di Rumah Kebajikan di sebelah Hotel E & O manakala pelajar-pelajar perempuan ditempatkan di Poh Leung Kok (kini Cheshire Home). Bahagian pentadbiran terpaksa meminjam tempat di Pejabat Trustees di Mahkamah Tinggi. Selepas 6 bulan sekolah ini bercerai-belai, akhirnya bertemu semula di Poh Leung Kok apabila diberi kebenaran untuk menggunakan keseluruhan premis tersebut sebagai sekolah.
Perasmian Bangunan Baru Sekolah diTanjung Bungah
Selepas pengubahsuaian pelan sekolah baru agar tidak mengganggu kebanyakan setinggan yang berada di tanah tersebut dan perbincangan teliti dengan 2 keluarga setinggan yang terlibat, pembinaan sekolah diteruskan dengan lancar. Akhirnya bangunan sekolah baru dibuka secara rasmi oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1970. FSD kini menjadi sebuah sekolah kerajaan.
Toh Puan Lady Templer ditemani pengetua, Puan Saleena, dermawan Encik Loh Boon Siew dan ahli lembaga sekolah berkunjung ke tapak sekolah baru di Tanjung Bungah (April,1961)
Premis sekolah yang baru di Tanjung Bungah dirasmikan oleh Tengku Abdul Rahman Putra AlHaj, Perdana Menteri pada tahun 1970
Perasmian bangunan Sekolah Menengah oleh Dr. Mahathir Bin Modamed.
Eleanor Culas Seorang pelajar yang unggul semasa dibangku sekolah. Beliau bertemu dengan suami isteri Jeneral Gerald templer, bekas Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu semasa lawatan mereka ke sekolah
Profesor Parson berkunjung ke FSD memperkenalkan kaedah komunikasi seluruh.
Memperkenalkan latihan Vokasional…..
Prestasi pelajar-pelajar cacat pendengaran dalam bidang akademik mahupun vokasional semakin meningkat. Pada mulanya, pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 terpaksa diintegrasikan ke sekolah-sekolah biasa seperti Sekolah Menengah Jelutong dan Sekolah Menengah Tanjung Bungah di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, didapati pelajar-pelajar pekak yang dintegrasikan ke sekolah biasa menghadapi pelbagai masalah yang merugikan mereka dalam pembelajaran, akhirnya FSD juga memberikan pendidikan menengah atas kepada pelajar-pelajar yang lulus dalam peperiksaan L.C.E. atau S.R.P. Blok bangunan sekolah menengah juga siap dibina dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Mahathir Bin. Mohamed pada 28hb. Jun 1975.
Memperkenalkan Kaedah Komunikasi Seluruh
Eleanor Culas merupakan penuntut FSD yang pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Gallaudet iaitu sebuah universiti khas untuk pelajar-pelajar pekak di Washington D. C., Amerika Syarikat. Beliau kagum dengan kaedah “Manual Signs’ yang digunakan oleh masyarakat orang pekak di Amerika Syarikat dan yakin bahawa kaedah berkomunikasi ini akan menguntungkan masyarakat orang pekak di Malaysia juga. Apabila Profesor Frances M. Parson dari Universiti Gallaudet melancong mengelilingi dunia, Eleanor telah meminta Profesor Parson singgah di Malaysia dan berkongsi kepakarannya dan kaedah `Manual Signs’ dengan guru-guru di FSD.
Profesor Parson mengunjungi FSD pada tahun 1976. Beliau tinggal di sekolah dan berusaha menyakinkan Puan Saleena dan guru-gurunya bahawa kaedah komunikasi seluruh dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasa kanak-kanak cacat pendengaran. Seterusnya, Profesor Parson telah mengadakan Kelas Komunikasi Seluruh dan mendemonstrasikan kaedah `Manual Signs’ kepada guru-guru FSD pada waktu petang selama sebulan.
Beliau juga sempat bertemu dengan Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad, Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu dan membincangkan kelebihan kaedah Komunikasi Seluruh untuk kanak-kanak cacat pendengaran. Hasil daripada pertemuan tersebut Kementerian Pelajaran membenarkan ‘Pilot Class’ yang menggunakan Kaedah Komunikasi Seluruh dimulakan di FSD. Kelas ini diberikan masa 5 tahun untuk menguji keberkesanannya. Namun selepas percubaan 3 tahun, prestasi pencapaian murid-murid dari kelas tersebut jauh lebih baik daripada murid-murid dari kelas lisan.
Akhirnya pada tahun 1978, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan agar Kaedah Lisan diganti dengan Kaedah Komunikasi Seluruh yang merangkumi `Manual Signs’, ejaan jari, membaca bibir, air muka dan pergerakan badan. Dengan implementasi kaedah tersebut, guru-guru FSD telah mengadakan kelas memperkenalkan `Manual Signs’ untuk guru-guru khas cacat pendengaran dari seluruh pelosok Malaysia di SEAMEORECSAM, Pulau Pinang.
Dua kumpulan pelajar yang diajar dengan kaedah berlainan. Sebelah kanan ialah kumpulan komunikasi seluruh diajar oleh Cik Khoo Seok Mei dan sebelah kiri ialah kumpulan oral diajar oleh Cikgu Chan.
Pengetua Puan Saleena Yahaya Isa yang telah berkhidmat selama 33 tahun di FSD bersara pada 24 Mac 1987.
Encik Anwar Ibrahim, menteri Pendidikan Malaysia merasmikan Blok Vokasional Seleena pada tahun 1988. beliau diiringi Tan Sri Khir Johari, Pengerusi Lembaga pengelola dan Encik Francis Chai, Pengetua SMPKP.
Blok Vokasional Saleena dirasmikan oleh En. Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan.
Latihan Kemahiran Vokasional
Pihak sekolah juga merancangkan program latihan vokasional untuk murid-murid yang kurang berjaya dalam akademik. Muridmurid yang gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (tingkatan tiga) disalurkan ke kelas Pemulihan untuk menerima latihan kemahiran vokasional di samping kemahiran membaca dan menulis. Kemahiran vokasional yang diberikan termasuk pertukangan emas, masakan, pertukangan kayu, seni lukis dan sebagainya. Latihan kamahiran vokasional amat sesuai untuk murid-murid yang kurang berjaya dalam akademik. Sesetengah bekas pelajar dari kelas kemahiran vokasional amat berjaya dalam kerjaya. Antaranya, Razani Ramli kini merupakan pemilik Raza Furniture and Alumglass, Kota Bharu, Kelantan. Seorang lagi, Mohd. Yunus Mohd. Ismail dari kelas jahitan kini merupakan pemilik Sri Pelamin Mohd. Yunus di Jelutong, Pulau Pinang.
Pelancaran Tadika Khas untuk Kanak-kanak Cacat Pendengaran pada tahun 1985…
Pada peringkat awal, usia kemasukan ke FSD tidak ditetapkan. Murid-murid pekak berusia tiga tahun juga diterima. Walau bagaimanapun, semenjak FSD diisytiharkan sebagai sekolah kerajaan, umur kemasukan ke sekolah ditetapkan pada usia tujuh tahun seperti sekolah biasa. Tiada peruntukan diberikan untuk memulakan tadika. Atas kesedaran bahawa pendidikan kanak-kanak cacat pendengaran harus dimulakan seawal mungkin maka pihak pentadbiran sekolah berikhtiar mendapatkan bantuan daripada UNESCO Jepun untuk melancarkan kelas tadika pada tahun 1985. Kelas tadika ini menggalakkan ibu bapa turut hadir untuk mengikuti kemajuan anak dan juga belajar kaedah berkomunikasi dengan anak masing-masing. Kelas tadika ini berjaya menghasilkan segolongan pelajar pekak yang lebih cekap dalam menulis, membaca dan berkomunikasi dengan kaedah komunikasi seluruh.
Persaraan Pengetua Puan Saleena Yahaya Isa (1987)
Pengetua Puan Saleena Yahaya Isa yang telah berkhidmat selama 33 tahun di FSD bersara pada 24 Mac 1987. Sebagai seorang pendidik yang paling berdedikasi dan berjasa murni, segala usaha beliaulah yang telah membawa kepada kemajuan pendidikan khas untuk kanak-kanak pekak di Malaysia. Sepanjang perkhidmatan beliau, kita dapat melihat “keberanian” beliau mengubah pandangan umum dan menegakkan “kebenaran”. Boleh dikatakan bahawa beliau merupakan peneroka untuk setiap tahap perkembangan pendidikan untuk pelajar-pelajar pekak. Jadi, wajarlah beliau dianugerahkan gelaran Tokoh Guru pada tahun 1987 dan gelaran Dato’ pada tahun 1993.
FSD dipecahkan kepada 2 sekolah pada tahun 1987…..
Oleh sebab bilangan pelajar berlipat ganda dan untuk menyenangkan penyelenggaraan pentadbiran, FSD dipecahkan kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan (SKPKP) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan (SMPKP) pada tahun 1987 selepas persaraan Puan Saleena. Cik Khoo Seok Mei dilantik sebagai Guru besar sekolah rendah sementara Encik Francis Chai Voon Onn dilantik menjadi pengetua baru sekolah menengah.
Pembinaan Blok Vokasional Saleena pada tahun 1988….
Sebelum bersara, Puan Saleena telah mengunjungi Jepun dan berjaya memperoleh sumbangan sejumlah $160,000.00 daripada UNESCO Jepun untuk tujuan memulakan bahagian tadika bagi kanak-kanak pekak prasekolah. Dengan bantuan kewangan ini dan usaha pihak pentadbiran sekolah di bawah kepimpinan Pengetua Encik Francis Chai Voon Oon, satu blok vokasional telah didirikan untuk menampung keperluan infrastruktur aliran vokasional. Pada tahun 1988, blok vokasional ini dibuka secara rasmi oleh Encik Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu. Blok vokasional ini dinamakan Blok Vokasional Puan Saleena Yahaya Isa untuk mengingati jasa bekas pengetua.
Pendidikan Vokasional dan Teknologi Informasi
Di bawah kepimpinan Encik Francis Chai Voon Oon, kelas kemahiran vokasional seperti kerja batu bata, membuat perabot dan membuat pakaian diperkenalkan. Di samping itu, teknologi maklumat mula diperkenalkan kepada pelajar pekak dengan mengadakan Kelab Komputer. Tiga unit komputer IBM PC dan dua unit komputer Apple Machintosh dibeli oleh Lembaga Pengelola sekolah untuk tujuan pembelajaran. Dalam perkhidmatan Encik Francis Chai, satu “jogawalkathon” diadakan untuk mengutip sumbangan wang sebanyak RM50,000 untuk pembelian alat-alat bantu mengajar.
Apabila Encik Francis Chai Voon Onn bersara wajib pada April 1990, Puan Chan Sew Lian sebagai Penolong Kanan I menjalankan tugas pengetua. Beliau dilantik sebagai pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan pada 16 Januari 1992. Di bawah kepimpinan beliau, kemudahan sekolah telah dipertingkatkan lagi untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya pemasangan skrin dan `overhead projector’ di setiap kelas dan juga kipas untuk semua kelas. Perkakasan komputer di makmal mikrokomputer ditambahkan dengan 6 unit komputer 80386 yang diderma oleh Rotary Kelab dan tiga unit komputer 80486 sumbangan pihak swasta. Dengan pertambahan perkakasan, kelas formal Literasi Komputer untuk Tingkatan 1 dan 2 dilaksanakan pada tahun 1993 agar pelajar-pelajar diberi pendedahan dan peluang untuk menceburi bidang pengkomputeran selepas meninggalkan bangku sekolah.
Kejayaan Pelajar Dalam Pertandingan Komputer Peringkat Negeri dan Peringkat kebangsaan
Peningkatan pelajar pekak dalam teknologi maklumat terbukti apabila pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan muncul sebagai johan dan juga memenangi hadiah ketiga dalam Pertandingan Penulisan Perisian Komputer peringkat negeri Pulau Pinang pada pertengahan tahun 1995. Kejayaan ini amat bermakna kerana buat pertama kalinya, pelajar-pelajar pekak membuktikan kemampuan mengatasi persaingan hebat daripada pelajar-pelajar aliran perdana dari seluruh negeri dalam pertandingan yang menguji intelek dan ilmu pengetahuan. Dengan kejayaan di peringkat negeri, pelajar-pelajar sekolah ini terus memenangi hadiah ketiga dalam Pertandingan Penulisan Perisian Komputer Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan pada akhir tahun 1995.
Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan diisytiharkan sebagai Sekolah Gred A Pada Tahun 1993
Perkembangan pesat di sekolah dan bilangan penuntut yang semakin ramai menyebabkan sekolah ini layak dinaikkan taraf kepada sekolah Gred A pada 1 Mac 1993. Dengan kenaikan taraf ini, seorang pengetua baru iaitu Puan Yeoh Suan Choo dilantik menjadi pengetua sekolah pada 15 November 1995. Di bawah kepimpinan beliau, program latihan bekerja diperkenalkan untuk pelajar-pelajar bahagian vokasional. Pelajar-pelajar yang terpilih untuk program ini bekerja separuh masa di Restoran KFC dan Restoran McDonald di Komtar, Pusat Membeli Belah One Stop dan Sunrise pada hujung minggu dan cuti am. Tujuan program ini adalah untuk memberikan pendedahan ke alam bekerja bagi pelajar-pelajar terlibat.
Pada tahun 1996, dengan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah ini dalam teknologi informasi terbukti, Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan membekalkan 20 unit komputer Pentium berjenama Acer yang baru untuk melengkapi makmal komputer dan membolehkan pendidikan teknologi maklumat dijalankan secara menyeluruh. Puan Yeoh Suan Choo bersara secara pilihan pada 30 November 1996.
Sekolah Menengah Pendidikan Khas Ke Ambang 2000
Puan Mui Siew Koon dilantik menggantikan Puan Yeoh Suan Choo pada 1 Februari 1997 untuk memimpin sekolah ini ke ambang 2000. Beliau terus berusaha mendapatkan sumbangan masyarakat untuk menambahkan kemudahan sekolah. Pengurusan perpustakaan dilengkapkan dengan komputer yang diderma oleh pihak Kelab Lion. Koleksi buku di perpustakaan juga ditambahkan. Untuk menggalakkan sikap dan tingkahlaku baik dalam kalangan pelajar, pelbagai pertandingan individu, pertandingan antara kelas dan pertandingan antara dormitori dijalankan. Di bawah kepimpinan beliau, dua set pita video iaitu satu set Kod Tangan Bahasa Melayu dan satu set Kod Tangan Bahasa Inggeris dihasilkan. Kedua-dua set video adalah hasil usaha Encik Tan Eng Hong. Dua set video tersebut adalah untuk kegunaan guru-guru yang baru dilantik ke sekolah ini dan juga untuk ibu bapa yang berminat mempelajari bahasa isyarat.
Menjelang tahun 2000, pihak Lembaga Pengelola telah memperuntuk wang untuk menyediakan Makmal Komputer II. Makmal komputer ini digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.
Pelajar-Pelajar Pekak yang lebih berkeyakinan!
Tahun 1990an memperlihatkan kadar pengintergrasian pelajar-pelajar pekak sekolah ini dengan masyarakat luar kian meningkat. Sebagai contoh, penglibatan pelajar-pelajar dalam pertandingan sukan, olahraga, komputer, tarian dan sebagainya. Penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan bukan sahaja telah membuka mata masyarakat tentang potensi sebenar pelajarpelajar pekak tetapi juga membina keyakinan diri mereka sendiri.
Bekas pelajar menceburkan diri dalam pelbagai bidang kerjaya seperti pelukis pelan, kerani, perniagaan sendiri, guru, pensyarah, juruteknik, grafik berkomputer, pengaturcara dan lain-lain. Mereka telah menunjukkan prestasi kerja yang baik. Menjelang tahun 1990an, peluang memasuki universiti tempatan dan maktab perguruan telah bertambah. Pada tahun 1996, bekas pelajar sekolah ini, Lim Chin Han diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia untuk mengikuti kursus Sains Kemasyarakat. Kemudian pada tahun 1997, Amir Hamidi berjaya memasuki Universiti Teknologi Malaysia untuk mengikuti kursus Sains Komputer. Pada tahun 1998 pula, dua orang bekas pelajar Lee Tur Chung dan Law Soak Yin diterima masuk ke Maktab Perguruan Ilmu Khas untuk latihan perguruan. Pada tahun 1999 pula, Geh Lih Kher dianugerah biasiswa Yayasan The Star untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Putra Malaysia yang ditawarkan sebagai program kembar di sebuah kolej swasta.
Hak Cipta © 2021, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan.
Laman web diuruskan oleh FSDian. Hak Cipta terpelihara.